1. Soalan : Apakah hukumnya kaum wanita menziarahi kubur?

Dari Buraidah Bin al Hushaib r.a, dia berkata bahawa dari Rasulullah SAW bersabda,“Dulu aku telah melarang kalian berziarah kubur,tetapi sekarang berziarahlah ke kubur kerana sesungguhnya ia dapat mengingatkan kalian akan akhirat. Hendaklah ziarah kubur kalian itu ianya menambah kebaikan.Oleh itu barang siapa hendak berziarah kubur janganlah kalian mengucapkan kata-kata yang bathil.”

Apablla menziarahi kubur sunat memberi salam lafaznya:

الـسَّـلاَمُ عَـلَـىْـكُـم أَهـْل اللْـدِيـاَرِ مِـنَ الْـمُـؤْمِـنـِيـنَ وَالْـمُـؤْمِـنَـات وَأَنَـا أِنْ شَـاءَ الـلَّـهِ اِلَـيْـكُـمْ لاَ حِـقُـوْن – رواه مسلم

Ertinya; “Salam sejahtera ke atas kamu wahai ahli penghuni kampong dari kalangan mukminin dan mukminat dan aku In Syaa Allah akan menuruti kamu.”

 


2. Soalan : Bolehkah menangisi kerana kematian seseorang ?

Harus menangisi kematian seseorang. Ia berdasarkan hadith bahawa Rasulullah SAW telah menanggis ketika melihat anaknya Ibrahim hampir mati. Yang diharamkan ialah meraung dan mengoyakkan pakaian atau seumpamanya.

 


3. Soalan : Bagaimana penyenggelaran orang yang mati syahid?

Ulama’ membahagikan mati syahid kepada tiga bahagian iaitu:

1. Syahid akhirat – iaitu mereka yang mati dalam keadaan diuji oleh Allah seperti mati bersalin, terbakar, sakit taun dan sebagainya.

2. Syahid dunia – Iaitu orang munafik yang mati ketika perang fi sabilillah, mereka diiktiraf sebagai syahid oleh orang ramai di dunia tetapi disisi Allah SWT tidak bermakna.

3. Syahid Dunia dan Akhirat – iaitu mukmin yang ikhlas mati ketika berperang fi sabilillah, mereka diiktiraf sebagai syahid oleh Allah SWT dan orang ramai.

Bagi syahid akhirat, mereka diuruskan seperti biasa iaitu dimandikan dikafankan, disembayangkan dan dikebumikan. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud ; tujuh jenis syahid selain daripada terbunuh dalam peperangan, iaitu sakit taun, mati lemas, sakit barah, sakit colera, mati terbakar, mati ditimpa keruntuhan dan mati melahirkan anak.
Manakala mati syahid dunia dan akhirat, mereka tidak boleh dimandikan walaupun mereka mati dalam keadaan berjunub, malahan dikebumikan dengan pakaian mereka yang berdarah kerana ia akan menjadi saksi diakhirat nanti. Manakala menyembayangkan jenazah yang syahid kalau disembayangkan juga tidak berdosa.

 


4. Soalan : Bagaimanakah menguruskan mayat yang berpisah anggota badannya ?

Masalah ini terbahagi kepada tiga.

Pertama: Kita hanya menjumpai serpihan / sebahagian anggotanya sahaja.Kita hanya menjumpai serpihan / sebahagian anggotanya sahaja dan yakin bahawa serpihan itu adalah anggota orang Islam melalui tanda seperti cincin atau parut dan diyakini matinya. Menurut pendapat Imam Syafie dan Imam Ahmad, anggota tersebut wajib dimandikan, dikafankan, disembayangkan dan dikebumikan.

Berkata Imam Syafie ; “Telah datang seekor burung yang menerbangkan tangan ke Makkah pada waktu perang Jamal. Mereka mengenali orang itu melalui cincin yang ada di jarinya. Lantas mereka memandikan dan menyembayangkannya. Kejadian itu disaksikan oleh beberapa orang sahabat.

Kedua: Kita menjumpai tubuh mayat bersama serpihan anggotanya.

Kita menjumpai tubuh mayat bersama serpihan anggotanya. Hendaklah dimandikan jenazah bersama anggota yang terpisah tersebut. Tidak perlu disambung kembali. Memadai meletakkan bersama jenazah. Sekiranya anggota tersebut menjadi ketulan yang kecil yang payah dimandikan, boleh letakkan didalam tapisan dan jiruskan air untuk meratakan air sahaja. Setelah itu diletakan bersama jenazah ketika dikafankan.

Ketika: Kita menjumpai serpihan anggotanya setelah dikebumikan tubuhnya.

Kita menjumpai serpihan anggotanya setelah selesai dikebumikan tubuhnya. Para Ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini seperti berikut:
Pendapat pertama : Anggota tersebut perlu dimandikan, dikafankan, disembayangkan dan dikebumikan berhampiran dengan kuburnya.
Pendapat kedua : Anggota tersebut hanya perlu dimandikan dan terus dikebumikan tanpa perlu disembayangkan.

 


5. Soalan : Bagaimana penyenggaran mayat yang terbakar atau reput?

Mayat muslim yang terbakar, jika dimandikan sudah pasti akan hancur, hendaklah ditayamumkan sahaja. Begitu juga mayat yang telah reput yang tidak boleh dimandikan, hendaklah ditayamumkan.

 


6. Soalan : Bagaimana cara untuk menguruskan mayat telah lama?

Biasanya mayat yang sudah berlalu tiga hari, apabila digosok kulitnya akan tersiat dan tertanggal. Maka ketika memandikan jenazah hendaklah digosok dengan berhati-hati atau disemburkan dengan air perlahan setelah dibersihkan najis dan kotoran. Jika mayat yang sudah lama dan tidak boleh dimandikan, hendaklah ditayamumkan sahaja. Kemudian diuruskan seperti biasa, dikafankan, disembayangkan dan dikebumikan.

 


7. Soalan : Apakah hukumnya mengadakan tahlil dan kenduri arwah?

Mengenai tahlil, ianya berlaku berbeza pendapat dikalangan Ulama’ berdasarkan adakah bacaan Al Quran dan amalan seseorang yang masih hidup seperti zikir dan tahlil boleh sampai pahalanya kepada simati. ( Perkara ini memerlukan perbahasan yang panjang ).
ahkan majlis tahlil tersebut. Saya lebih cenderung kepada pendapat majlis tahlil adalah harus, manakala bagi golongan yang tidak bersetuju, seboleh-bolehnya tidaklah menghalang orang lain melakukannya kerana ianya adalah khilaf.

Manakala menetapkan hari tahlil kepada tiga, tujuh ke empat puluh hari dan ke seratus hari adalah daripada adat hindu yang menetapkan hari-hari tersebut untuk orang yang mati. Sebaik-baiknya adat ini dihapuskan, malahan Islam menganjurkan agar mendoa’kan simati setiap hari, bukannya pada hari tertentu sahaja.

Adapun masalah jamuan kenduri arwah selepas majlis tahlil tersebut, sekiranya jamuan itu dari wang simati yang belum difaraidkan adalah haram hukumnya, kerana harta tersebut mestilah difaraidkan dan dibahagikan kepada yang berhak seperti hutang atau wasiat. Tetapi jika jamuan itu bukan dari harta simati seperti anaknya adalah diharuskan.
Sebaik-baiknya ialah orang ramai seperti saudara mara atau jiran yang menyediakan makanan dan menjamu kerabat simati kerana inilah yang thabit dalam sunnah Rasulullah SAW.

 


8. Soalan : Adakah talqin selepas dikebumikan jenazah adalah bid’ah yang haram?

Talqin adalah cabang ( furu’ ) yang tidak perlu kita berpecah kerana masalah yang kecil ini. Sepatutnya umat Islam bersikap berlapang dada di dalam masalah cabang ini, dan bertegas di dalam masalah usul seperti menghalalkan apa yang tetap haramnya didalam Al Quran seperti judi. Yang peliknya, sebagai contoh ramai orang Islam yang main judi ( nombor ekor ) tetapi tidak berani menegurnya. Dan pihak membenarkan ( mengeluarkan ) lessen judi tidak dihukum. Remaja-remaja Islam yang berzina, minum arak, bertatoo,yang berkawin cara sivil dan semasa dengannya tidak dihukum. Tetapi bila timbul masalah talqin, ada yang melatah dan menghukum haram serta sesat.

Jawapan serta permasalah ini, secara ringkas seperti berikut;
Sepakat Ulama’ bahawa berdoa selepas pengebumian adalah sunnah Rasulullah SAW. Manakala talqin pula telah menjadi khilaf / berbeza pendapat di kalangan fuqaha’
Imam Syafie menyatakan talqin hukumnya sunat bagi orang mukhallaf. Adapun kanak-kanak tidak sunatkan talqin.

Ini berdasarkan satu hadith riwayat At Thabarani dari Abu Umamah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Apabila salah seorang dari saudara kamu meninggal dunia dan kuburnya telah diratakan, maka hendaklah seorang daripada kamu berdiri di kepala kubur dan berkata; “Hai fulan bin fulan!” Sebenarnya mayat itu mendengar tetapi dia tidak menjawap. Kemudian hendaklah dipanggilnya lagi; “Hai fulan bin fulan!” Maka mayat itu akan menjawab; “Ajarilah aku.” Maka hendaklah mengajarnya; “Hendaklah aku ingat apa yang telah kau bawa sebagai bekalan ketika kau meninggal dunia ini iaitu bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawa Muhammad itu hamba dan Rasul Nya. Dan kau redha Islam sebagai agama mu, Muhammad SAW Nabi mu, Al Quran sebagai Imam mu.
Hadith ini menjadi perbahasan di kalangan Ulama’ kerana ia termasuk di dalam hadith dhaif. Imam Nawawi berpendapat bahawa hadith dhaif dibolehkan beramal di dalam perkara fadhail ( kelebihan utama amalan ) bukan dalam masalah aqidah. Oleh itu beliau berpendapat talqin ini sunat diamalkan berdasarkan hadith dhaif.

 


9. Soalan : Bolehkah isteri yang diceraikan memandikan bekas suaminya atau lelaki memandikan bekas isterinya?
Seorang perempuan yang diceraikan oleh suaminya dalam talak raj’ie, kemudian mati suaminya dan tiada orang lain untuk memandikan bekas suaminya. Dalam hal ini ada tiga pendapat ulama’ iaitu ;
Pendapat yang pertama : Boleh si isteri memandikan suaminya. Ini pendapat yang kuat.
Pendapat yang kedua : Boleh si isteri memandikan jenazah bekas suaminya selagi edahnya masih ada.
Pendapat yang ketiga : Boleh memandikannya selagimana perempuan itu belum berkahwin dengan lelaki lain walaupun tempoh edahnya telah tamat.

 


10. Soalan : Bagaimana menguruskan anak yang gugur dari kandungan?

Maasalah ini terbahagi tiga.

1. Jika ada tanda-tanda anak tersebut hidup semasa lahirnya seperti bergerak, bernafas, menangis atau seumpamanya maka hukumnya seperti mayat orang biasa.
2. Jika tiada tanda-tanda hidup, tetapi sudah membentuk lembaga manusia, maka mayat itu hendaklah dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tanpa disembayangkan.
3. Sekiranya tiada tanda-tanda hidup dan masih belum membentuk lembaga manusia, memadailah dengan membasuhnya sahaja untuk membersihkan daripada darah dan kotoran yang ada. Kemudian dubungkus dan ditanam.

 


11. Soalan : Bagaimana menguruskan khunsa musykil yang kita tidak dapat memastikan kecenderungan jantinanya?
Di utamakan memandikan khunsa musykil ialah mahramnnya. Sekiranya tiada mahramnya masalah ini terbahagi kepada dua iaitu :
Pertama : Kalau masih kanak-kanak, harus bagi lelaki atau perempuan memandikan.
Kedua : Kalau khunsa tersebut telah dewasa, pendapat yang kuat dan rajih ialah tidak perlu dimandikan, hanya ditayamumkan sahaja. Pendapat yang lain dimandikan dengan pakaiannya dan mengosok diatas pakaian tersebut.

 


12. Soalan : Bolehkah bagi orang yang junub memandikan jenazah?

Harus bagi orang yang junub atau perempuan haid memandikan, tidak dihukumkan makhruh.

 


13. Soalan : Adakah jenazah yang mati diatas kapal, mesti dikebumikan diatas darat?

Jika kapal jauh dari daratan, hendaklah dikebumikan jenazah tersebut kedasar laut dengan diikat dengan benda berat dan ditenggelamkan. Jika memungkinkan jenazah diangkat ke darat maka dikebumikan di darat sahaja.

 


14. Soalan : Adakah boleh mengkhatankan mayat yang telah baligh kerana simati semasa hidupnya melambat-lambatkan khatannya?

Tidak boleh mengkhatankan jenazah yang telah baligh, sekiranya ada najis di bawah hasyafahnya, maka ditayamumkan, dimandikan dan disembayangkan.

 


15. Soalan : Apakah hukum, jika darah si mayat senantiasa mengalir keluar. Adakah sah mandiannya dan sembayangnya?

Sah sembayang ke atasnya setelah tempat darah yang mengalir itu disumbat atau dibalut, dan tidak perlu dimandikan lagi.

 


16. Soalan : Apakah hukum memakai kain berwarna selain daripada kain putih kerana mengikut wasiat si mati?

Memakai kain kafan berwarna putih adalah dituntut dan sunat. Manakala kain kafan yang berwarna adalah makhruh. Sekiranya si mati mewasiatkan agar ia dipakaikan kain kafan berwarna, maka wasiatnya itu tidak sah. Dan menjadi haram pula kalau sekiranya kain berwarna tersebut akan menghinakan dia seperti berwarna kuning yang menyerupai sami budha.

 


17. Soalan : Adakah untuk menguruskan jenazah diambil daripada harta peninggalan harta simati atau harta warisnya?

Semua perbelanjaan untuk menguruskan jenazah diambil daripada harta simati sendiri kecuali perbelanjaan jenazah isteri wajib ditangung oleh suami dan jenazah anak ditanggung oleh bapanya. Sekiranya simati tidak mempunyai harta, maka menjadi kewajipan kepada orang yang menanggungnya semasa hidupnya. Jika tiada juga, maka diambil dari harta Baitul Mal. Sekiranya Baitul Mal tiada di tempat tersebut maka ianya menjadi kewajipan ke atas mana-mana muslim yang mampu ditempat tersebut.

 


18. Soalan : Bagaimanakah cara yang sunat ketika mengiring jenazah ke kubur?

Ketika mengiringkan jenazah, sunat bagi kaum lelaki berada dihadapan jenazah. Manakala bagi perempuan hukumnya makhruh mengiringi jenazah. Jika berlaku fitnah seperti bercampur gaul dengan lelaki, menjerit disebab hukumnya haram.

 


19. Soalan : Apakah hukumnya mengiring mayat orang kafir ke jirat mereka?

Sekiranya mayat orang kafir itu adalah kaum kerabatnya, isterinya, hambanya atau jirannya hukumnya harus. Selain dari itu tidak boleh sama sekali.

 


20. Soalan : Bagaimana cara saf yang afdal ketika menyembayangkan jenazah?

Disunatkan membuat tiga saf tetapi jika terlalu ramai dan saf melebihi tiga saf tidak mengapa.

Jika yang hadir 6 orang, dibuat tiga saf juga iaitu seorang bersama imam, dua orang pada saf kedua dan dua orang lagi pada saf ketiga.

Jika hadir 5 orang, empat orang makmum membuat dua saf dengan kedudukan dua orang satu saf, dicampurkan dengan Imam. Boleh juga dikira sebagai 3 saf.

Jika hadir 3 orang, hendaklah seorang berdiri dengan Imam dan dua orang lagi berada satu saf di belakang Imam,gugurlah saf yang ketiga kerana tidak mencukupi makmum.

 


21. Soalan : Bagaimanakah menguruskan mayat-mayat muslim bercampur dengan mayat-mayat kafir yang tidak dapat dikenali pasti?

Diuruskan semua mayat tersebut mengikut cara Islam iaitu dimandikan, dikafankan dan disembayangkan semuanya. Ketika berdoa di dalam sembayang jenazah tersebut, doa’nya ialah ; اللَّـهُـمَّ اغْـفِــرْ لِلْـمُـسْـلِـمِ مِـنْهُـُم
Ertinya ; Ya Allah ampunilah dosa-dosa orang Islam dikalangan mereka” atau
اَلـلًّـهُـمًّ اغْـفِرْلَـهُ أِنَّ كَـَانَ مُـسْـلِـمـَا
Ertinya ; Ya Allah ampunilah dosa mereka sekiranya dia orang Islam.

 


22. Soalan : Seoarang yang telah menukar alat kelaminnya dengan ushanya sendiri samada melalui pembedahan atau sebagainya. Setelah beliau meninggal dunia, siapakah yang berhak menguruskan mayatnya, orang lelaki atau perempuan?

Apabila dia meninggal dunia hendaklah melihat kepada asal kejadiannya. Sekiranya asalnya lelaki. Maka orang lelaki yang berhak menguruskan jenazahnya, begitulah sebaliknya.

 


23. Soalan : Apakah hukum menulis kalimah Allah dan Muhammad SAW atau sebagainya di atas dahi jenazah?

Dibolehkan menulis kalimah tersebut sekiranya menggunakan air mutlak atau minyak atar. Sekiranya menulis dengan sesuatu yang tidak hilang seperti dakwat adalah haram hukumnya.

 


24. Soalan : Sebahagian masyarakat ada yang menyuruh kaum kerabat simati agar lalu di bawah keranda semasa diusung sebelum dibawa ke kubur. Apakah ada nas menyuruh melakukan demikian?

Tiada nas samada dari Al Quran, hadis dan ijma’ ulama’ mengenai perkara ini. Ianya adalah bid’ah yang perlu ditinggalkan.

 


25. Soalan : Sampaikan doa’, bacaan Al Quran, tahlil dan sebagainya kepada si mati?

Dalam permasalahan ini terdapat khilaf dikalangan ulama’. Sebahagian ulama’ menyatakan tidak sampai pahala amalan tersebut kepada simati dengan firman Allah SWT yang bermaksud :” Dan sesumgguhnya tiada balasan bagi seseorang kecuali apa-apa-yang telah diushakannya.” ( Surah Najm ayat 39 )
Mengikut pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah pula. amalan tersebut sampai pahalanya kepada simati sekiranya diniatkan untuk simati dengan beberapa hujah, diantaranya firman Allah SWT yang bermaksud ; “Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka berkata;”Wahai Tuhan kami ampunkanlah kami dan saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau menjadikan di dalam hati-hati kami perasaan hasad dengki terhadap orang-orang yang beriman…”
Dan terdapat banyak hadith yang menyatakan sampainya pahala sesuatu amalan itu kepada simati diantaranya Rasulullah SAW telah didatangi oelh seorang lelaki dan berkata; “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibu saya telah meninggal dunia dan mempunyai puasa satu bulan (ramadhan) ,apakah saya boleh membayar puasa ibu saya?
Rasulullah menjawap; “Seandainya Ibumu mempunyai hutang adakah kamu akan membayar hutang itu? Lelaki itu menjawap;”Ya” Lalu Rasulullah SAW bersabda;”Maka hutang Allah lebih berhak dibayar.” Riwayat Muslim.
Kita juga disunatkan mengucapkan salam iaitu doa’keselamatan kepada ahli kubur sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW;
الـسَّـلاَمُ عَـلَـىْـكُـم أَهـْل اللْـدِيـاَرِ مِـنَ الْـمُـؤْمِـنـِيـنَ وَالْـمُـؤْمِـنَـات وَأَنَـا أِنْ شَـاءَ الـلَّـهِ اِلَـيْـكُـمْ لاَ حِـقُـوْن – رواه مسلم
Ertinya ; Salam sejahtera ke atas kamu wahai ahli penghuni kampong dari kalangan mukminin dan mukminat, dan aku In Syaa Allah akan menuruti kamu.” Riwayat Muslim.
Jika doa’ ini tidak memberi apa-apa faedah kepada simati, nescaya Rasulullah SAW tidak akan mengajar doa’ ini. Begitu juga dengan solat jenazah dibacakan doa’ untuk simati, menunjukkan doa’ tersebut memberi faedah kepada orang yang telah mati.

 


26. Soalan : Perlukah kita menutup cermin, televisen dan gambar di rumah bila ada ahli keluarga yang meninggal dunia?

Ini adalah amalan dan kepercayaan yang diamalkan oleh nenek moyang kita. Ianya bukan ajaran Islam ianya perlu ditinggalkan.